9/15/2012

Inikan Yang Korang Nak?


Karim adalah seorang engineer di sebuah syarikat terkemuka negara. Dia merupakan pelajar cemerlang di sekolah berasrama penuh, kemudian ke universiti dengan pelajaran yang cemerlang. Beliau mendapat kelulusan sijil yang bagus, dan seterusnya melayakkan dia mendapat biasiswa ke luar negara. 
Sebelum itu, beliau merupakan seorang ketua pengawas sekolah dan juga ketua pengakap di sekolah yang sentiasa aktif. Karim juga aktif dalam bidang ko-kurikulum terutamanya dalam bidang sukan. Karim juga seorang yang aktif dalam pidato sekolah disamping aktif dalam acara peringkat daerah dan negeri dalam setiap apa yang diwakilinya.
Selepas habis belajar di luar negara, Karim dijodohkan dengan Lydia, seorang pramugari yang dia kenal semasa di luar negeri. Beliau kemudian berkahwin dan memperoleh tiga orang cahaya mata yang cantik-cantik, Kesha,Cassandra dan Aiman Danish. Selepas berkahwin beliau membeli rumah di Country Heights dan beliau memiliki dua buah kereta iaitu Audi RS4 dan BMW 4 Series. Beliau sering mendapat projek di dalam dan luar negeri dengan pendapatan yang lumayan. Isterinya juga sentiasa menantinya setiap petang apabila dia pulang rumah. Mereka makan bersama dengan keluarga setiap hari. Pada hujung minggu Karim sering membawa keluarganya bersiar-siar dengan kereta Jermannya. Ke tempat peranginan dan tempat percutian. Hujung tahun Karim membawa keluarga ke Australia atau Eropah untuk cuti sekolah.
Karim juga menghantar ibu dan ayahnya ke Mekah setiap tahun. Karim juga menghantar adik-adiknya belajar ke luar negara. Setiap hari, Karim bersarapan spaghetti, tengah hari tenderloin steak dan malam ikan seabass. Setiap hari Karim berjoging sekurang-kurangnya 5 kilometer setiap hari dan sebelah petang menghabiskan masa sekurang-kurangnya sejam dalam 3 hari seminggu di gim. Karim sangat rapat dengan kawan-kawan sekerjanya, mahupun rakan-rakan sekolahnya. Karim tidak pernah terlepas masa untuk bertemu dengan semua rakan-rakannya. Karim tidur dengan tilam yang sesuai untuk kontur tulang manusia. Sebagai orang yang menjaga kesihatan, Karim tidak makan makanan monosaturated fats atau makanan yang dihidangkan di microwave, apatah lagi maggi dan mi segera. Karim memastikan keluarganya dapat makan makanan yang segar setiap hari. Setiap hari Ahad, Karim akan ke pasar raya untuk mendapatkan makanan yang paling berkhasiat untuk keluarga. Karim tidak merokok. Karim tidak makan ubat, dan jarang jatuh sakit kerana menjalani cara hidup yang sihat. Karim menggunakan tayar Continental yang sangat baik mencengkam jalan ketika hujan. Anak-anak Karim semuanya menggunakan seatbelt tanpa disuruh. Setiap hujung minggu Karim membawa anak-anaknya berjalan-jalan, ataupun beriadah di taman. Isterinya memasak untuk piknik setiap petang Ahad. Karim tidak pernah meninggalkan ibadah solat, puasa, dan zakat. Setiap hari beliau mengimamkan keluarganya solat jemaah. Karim juga seorang yang aktif dalam masyarakat, suka membantu penduduk setempat terutamanya gotong-royong dan aktiviti masyarakat.
Karim tidak pernah menolak jemputan perkahwinan rakan-rakan. Karim akan sentiasa ada bila ada yang memerlukannya. Hidup Karim bahagia. Karim anak yang soleh. Karim anak yang baik. Karim anak contoh Melayu Bumiputra.
Karim adalah impian setiap wanita Melayu pasca-moden.
Lydia adalah impian setiap lelaki Melayu pasca-moden.
Kesha,Cassandra dan Aiman Danish adalah impian setiap ibu bapa Melayu pasca-moden.

Masalahnya, apakah semua Melayu pasca moden mampu menjadi seperti keluarga Karim? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan