1/16/2013

In The End, Everything Will Becoming Black



Sesibuk mana pun gua, gua akan cuba luangkan sedikit masa untuk mendengar muzik muzik kegemaran gua. Tak kira dari zaman Metal, Grunge mahupun Britpop yang melanda dunia dari zaman 70-90 an. Saat di mana abang gua berkata yang hitz FM akan mainkan muzik muzik berentak grunge di malam hari. Cilaka. Apsal zaman gua takde benda benda ni semua. Mana keadilan? Apehal gua dilahirkan di zaman terencat 1D dan jugak JB cilaka ni? Malah bertambah cilaka bila zaman remaja gua musnah dek muzik muzik dari Korea. Ah persetankan muzik yang penuh dengan unsur kapitalis di mana muka didahulukan sebelum bakat. Engkorang ada muka, okay korang ada potensi jadi artis yang hot macam cilaka kat luar sana. Gua bukan mempersoalkan benda benda kosong tapi negara kita bukannya macam negara Britain di mana mereka masih lagi mahu mendahulukan bakat. Bagi gua, muzik sebenar ialah muzik yang tidak menggunakan autotune dan hanya menggunakan tiga basic instrument iaitu gitar, bass dan dram. Tak salah jugak bagi gua kalau nak tambah orchestra di belakang tabir dan beberapa suara harmonika.

Apa yang gua nak ceritakan kat korang ialah mengenai lagu yang menjadi hantu kat dalam hidup gua kebelakangan ni. Okay engkorang boleh bukak video di atas untuk mendengar lagu tersebut. Pearl Jam - Black. Satu antara nama besar dalam industri grunge di Seattle. Dengan suara merdu barritone penyanyi yang diberi nama Eddie Vedder, gua tak boleh lelap bila dengar lagu ni. Punyai maksud yang sangat deep dan padu dalam penulisan liriknya. Apa yang gua dapat sampaikan dalam pemahaman gua, lagu ni berkisarkan tentang seorang mamat yang terkejut ditinggalkan awek dia. Mamat ni cuba mencari di mana salah dan silap diri dia sampaikan si makwe ni tinggalkan dia dalam keadaan terpinga pinga. Si makwe cukup sempurna di mata dia sampai dia berimaginasi yang makwe dia ni sebuah kain kanvas putih lagi suci. Sempurna jiwanya seperti lima horizon yang mengelingi dunia. Dia nampak si makwe ni adalah segala galanya bagi dia. Hubungan diorang baik pada mulanya sehingga makin lama makin parah tanpa diketahui apakah puncanya. Dia cuba berseorangan dan mencari di mana salah silap hubungan diorang. Dan dia akhirnya tau yang hubungan dia dan si makwe ni tak berpanjangan macam apa yang dia nak. Dan dia tahu makwe yang dia dambakan ni akan punyai hidup yang sempurna di masa akan datang, bersinar menjadi insan yang berguna dan dia tau yang dia tak layak langsung untuk dicintai oleh gadis sesempurna seperti si makwe tapi masih terselit sebutir harapan yang si makwe ni akan menjadi milik dia.

Lirik yang sentiasa tersemat di jantung gua ialah bila si Vedder ni menyanyi part 'I know someday you'll have a beautiful life. I know you'll be a star. But why, why why why can't it be mine?' Dengar jeritan barritone dia cukup buat gua rasa sayu dan rasa apa yang si Vedder ni rasa. Sekarang cakap dengan gua  budak sampah macam budak grunge yang cuba melawan kehidupan bersistem, anarki dan anti kapitalis tak punya perasaan. Orang orang macam ni lagi punya perasaan yang sangat dalam sampai kan lu orang takkan percaya yang diorang ni ada perasaan macam ni. Ingat, jangan mudah menilai orang dari luaran. Menilai dari luaran bagi gua sentiasa tak relevan walau di zaman mana pun. Gua rindukan lagu lagu yang ada soulnya tersendiri macam lagu ni. Tapi cilakanya zaman sekarang hanya memandang bakat semata mata. Dan untuk pengetahuan engkorang, Vedder yang budak sampah 1 masa dulu ni punyai PhD holder in Music. Bukan calang calang musician. Orang seni sebenar akan mudah nampak apa yang dia rasakan salah di mata diorang. Cuba je lah engko tengok A.Samad Said. Takkan la sasterawan negara kita tu terlalu bodoh nak join perhimpunan Bersih. Mesti dia nampak di mana salahnya sistem yang kita hidup sekarang sampai dia pergi berdemonstrasi. Kalau dia nak kejar duit, bila bila masa dia boleh buat. Tapi tak, dia berjuang dengan rakyat semarhaen dia. Tak nampak perbezaan pun di mana title sasterawan tu diletakkan. 

Macam apa yang gua pernah cakap kat member member gua, tiap tiap orang punya drama yang ditulis hebat oleh di Atas, engkorang jangan sesekali menilai sesuatu dari luaran. Itu mentaliti dunia ketiga. Okay gua akan tuliskan lirik lagu Black ni untuk korang rasa sama betapa deepnya jiwa Eddie Vedder ni. 

Oh and all I taught her was everything 
Oh I know she gave me all that she wore 
And now my bitter hands 
Chafe beneath the clouds 
Of what was everything 
Oh the pictures have 
All been washed in black 
Tattooed everything 
I take a walk outside 
I'm surrounded by 
Some kids at play 
I can feel their laughter 
So why do I sear 
Oh, and twisted thoughts that spin 
Round my head 
I'm spinning 
Oh, I'm spinning 
How quick the sun can, drop away

And now my bitter hands 
Cradle broken glass 
Of what was everything 
All the pictures had 
All been washed in black 
Tattooed everything 
All the love gone bad 
Turned my world to black
Tattooed all I see 
All that I am 
All I'll be

Yeah
I know someday you'll have a beautiful life 
I know you'll be a star
In somebody else's sky 
But why 
Why 
Why can't it be 
Why can't it be mine

1/15/2013

Cerita satu hari


Berjalan dari Tanjung Dawai sampai ke Tasik Semeling adalah benda yang indah gua lakukan hari ni. Sambil memasang album Coldplay, Pearl Jam dan Audioslave, gua dapat rasakan satu perasaan yang dah lama gua nantikan. Perasaan yang tak mampu digambarkan dengan kata kata. Sepuitis mana pun perkataan atau ayat tu, tak dapat gua nak gambarkan. Gua tak tau sama ada gua sorang atau pun orang lain dapat merasakan satu perasaan bila melihat alam semulajadi terbentang depan mata. Gua rasa semua masalah gua dapat hilang masa tu jugak. Susah nak jumpa teman sebaya gua yang ada perasaan macam gua ni. Mungkin ada cuma gua je yang tak perasan kehadiran diorang dan punya minat yang sama macam gua. Sambil gua duduk melayang ke angkasa sorang sorang kat tasik semeling, gua teringat mimpi gua siang tadi. Mimpi siang hari lah mimpi yang sering buat kita kekal berharap.

Apa yang gua mimpikan ialah pabila gua memperkenalkan Bunga Ramona kepada semua teman teman gua di utara. Manis berbaju hitam, berblaus polka dot merah putih. Ramona memegang erat tangan gua seolah olah tak mahu gua pergi dan memulakan perbualan di atas sebuah titi. Titi usang yang kekal menjadi saksi gua bergelak ketawa bersama dia di dalam alam mimpi. Ramona menyandarkan kepalanya ke bahu gua. Gua mengusap rambut curlynya yang tidak terlalu ketara itu. Entah fantasi level berapa kali ni pun gua tak pasti siap ada background sound lagu Vertical Horizon - Best I ever Had lagi membuatkan gua tak mahu bangkit dari lena dan mahu mata kekal terpejam selamanya. Tapi gua hanya salah seorang daripada berbillion manusia yang bermimpi di siang hari dan gua terjaga dari tidur. Gua dapat rasa sedikit perasaan kecewa dalam hati gua kerana semua yang gua alami tadi hanyalah mainan syaitan semata. Gua menyambung perjalanan gua ke alam mimpi setelah terjaga kira kira 5 minit. 

Mimpi kedua gua bersambung dengan mimpi pertama gua cuma kali ni Bunga Ramona berbaju merah sambil mengenakan jeans cutting wanita. Ramona berjalan ke satu arah dan melambai tangan ke arah gua tanpa gua ketahui ke manakah arah yang ingin dituju. Dalam hujan renyai gua merayu kepada Bunga Ramona tolong kembali pulang tetapi layanan gua tak diendahkan. Gua terjaga dan gua rasa fuck up. Gua nak rehatkan minda tapi mimpi ni menambahkan kusut di kepala gua. Cilaka tahu! Gua tak pernah ambik port langsung pasal mimpi tapi ini mimpi betul betul buat gua rasa perlunya kaki gua bertapak di tanah yang sama seperti orang lain memijak. Sampai bila gua nak hidup dalam bayangan? Gua tak tahu apa yang gua kejarkan, apa yang gua tahu sekarang hanyalah harapan. Gua salahkan diri sendiri. Ahh kalau dilayan perasaan di mahu gua balik JB serta merta. Kahkahkah! Gua bergegas hidupkan enjin motor, dan meneruskan pecutan motor sampai ke Tasik Semeling.

Sampai ke malam gua duduk termenung di tempat yang sama. Macam macam ragam gua dapat tengok. Gua lihat ada pakcik pakcik yang baru pulang dari bekerja mahu memberi anak anaknya rezeki yang diperolehi agar anak anaknya berjaya dalam bidang pendidikan. Bagi gua berjaya tu luas pengertiannya. Tak semua yang ada sijil itu akan berjaya di masa hadapan dan tak semua yang hanya berbekalkan sijil SPM tu akan gagal seumur hidup diorang. Semua manusia tak kira tua atau muda, miskin atau kaya, semuanya menanamkan sedikit harapan dalam hidup supaya kehidupan mereka menjadi lebih senang di masa akan datang. Harapan yang gua taburkan hanya berlandaskan kepuasan semata mata. Gua tak dapat nak ambik hidangan yang ada di depan mata dan sibuk mengambil hidangan tempat lain. Gua cuba untuk menukar tabiat buruk gua ni tapi tak boleh. Mungkin sifat ni dah lama sebati dengan diri gua yang memang loser at all. Gua sentiasa gagal dalam melakukan kerja yang gua lakukan. Gua pun pelik. Okay lah gua boleh main gitar, tapi cuma sekadar boleh main major chord dan strum dengan betul je. Gua bukannya boleh baca tab pun.

Nak kira lagi loser, hari hari gua bayangkan Ramona ada dekat sisi gua sampai bantal peluk gua pun gua bagi nama Ramona. Nampak tak loser gua kat sini. Cilaka hina betul. Kahkahkah! Entah Ramona ambik port pasal aku ke tak aku pun tak tahu. Gua tahu Ramona cuba jauhkan diri dari gua. Gua tak tau atas apa sebab cuma gua nak dia tahu apa sebabnya tiba tiba nak jauhkan diri dari gua. Mungkin dah jumpa jejaka idaman macam wan agaknya. Mungkin lah. Eksistensialis yang boleh menjadi lelaki yang berkaliber bila bila masa. Tak macam gua. Masih terhegeh hegeh kat kedai runcit beli rokok dunhill batang. Cerita satu hari gua berakhir dengan gua tidur terbongkang dekat bangku taman rumah gua ketika gua sibuk mengira bintang bintang di angkasa sambil bermain kapal selam seorang diri. Gua sedar sedar yang matahari dah mula nak memanaskan bumi dan burung burung sibuk menyanyikan lagu lagu merdu. Gua bangun dengan 1 perkara bodoh bermain di kepala. Gua harap lepas ni hati dan perasaan gua akan dipijak mati oleh gua sendiri. Masa tu orang nak kutuk gua pun gua senyum sambil tunjuk middle finger kat diorang. Tapi masalahnya, kat ayat tu sendiri ada perkataan 'harap'. Kahkahkahkah! Tak guna!

Melayan jugak lagu Cerita Dia ni. Padu sungguh lirik.

Sempurna,
Cerita yang tak sempurna,
Apakah alasannya,
Siapakah di hatinya?

Bahasaku
Mungkin tidak seindah
Lafaz kata pujangga
Namun ku bersumpah

Bila ku tunggu jawapanmu,
masihkah aku ada dihatimu saat ini?
Biar tubuhku kan terpaku.
Biar jasadku tak bernyawa lagi
Saat ini.





1/10/2013

Warkah buat Ramona



Mungkin betul kata sesetengah orang, bila merindukan seseorang tidak kira lama mana pun tetap akan kita tunggu sehingga sampai detik detik kita akan bertemu kembali. Sesungguhnya aku tak pernah kecewa pun selepas lama berpisah dan bertemu kau kembali. Sememangnya kau salah satu memori yang paling indah pernah terpahat dalam hati dan akal aku. Walaupun membentak ego aku supaya membenci kau, tapi naluri hati seorang lelaki tahu mana satu perasaan yang waras tanpa diselaputi ego. Cuba melupakan memori indah dalam ingatan bagi aku hanyalah seperti kau cuba membuang akal yang terpahat sejak kau di dalam rahim bayi lagi. Seperti kau membuang setengah jiwa kau di lorong lorong hitam. Aku takkan melupakan kau. Seteruk mana keadaan aku, sesenang mana keadaan aku, aku takkan melupakan kau. Cuma sering aku berpesan di dalam diri aku sendiri bahawa aku sememangnya tak layak LANGSUNG nak menakluk kembali hati kau.

Aku cuma seorang insan yang masih bernafas oksigen yang sama seperti orang orang di luar sana. Tiada beza oksigen yang aku hirup itu dengan mereka mereka yang berada di istana, di luar negara mahupun di kaki lima. Sama. Cuma apa yang membezakan aku dengan mereka ialah aku punya kisah cerita hebat yang ditulis oleh Tuhan ke atas diri aku. Sebagai pelakon di dalam cerita ini, aku disuruh melakonkan watak menunggu kau. Menunggu bukannya suatu yang indah lebih lebih lagi menunggu perkara yang tak pasti. Bisikan syaitan berkata hentikanlah perkara bodoh ini, tapi jiwa aku sendiri tahu yang aku harus terus menunggu meskipun jawapan yang akan aku dapat kelak tidak seperti apa yang aku harapkan. Tapi sekurang kurangnya, aku mahu kau tahu yang aku bukan sahaja menunggu, malah sentiasa ada disamping kau tidak kira di saat saat getir mahupun ketika kau sedang gembira menari di bawah tangisan langit dan awan. Aku akan sentiasa ada sisi untuk menyokong dan memberikan kata kata semangat untuk kau terus mara di dalam hidup.

Aku sendiri tidak tahu apa kelebihan yang ada di dalam diri aku sehingga aku berkata yang kau harus menerima aku. Tidak. Aku tak nampak apa apa kelebihan. Malah terlalu banyak kekurangan yang ada di dalam diri aku. Kau akan malu dengan rakan rakan kau yang lain. Ketika mereka di samping jejaka jejaka hebat, tampan dan berkeyakinan tinggi, aku hanya seorang penulis yang hanya mampu mengucapkan kata kata indah tapi tiada apa yang boleh dibanggakan. Dengan saiz luaran aku yang boleh dilihat dari turki ke Belanda, semua akan memandang jelik ke atas kau. Dengan penampilan aku yang kusut serabut seperti mereka yang hidup di gelandangan, kau akan dibahan rakan sepermainan. Tidak. Aku datang bukan untuk menjadikan hidup kau sebegitu. Sebab itu aku berkata ramai lagi jejaka di luar sana yang layak menerima gadis seperti kau. Aku bangga dapat mengenali kau dengan sangat rapat. Kau seorang gadis yang peramah, bijak tutur kata dan juga pelajarannya. Kau antara gadis yang boleh hidup berdikari tanpa ada bantuan dari mana mana pihak. Jika dicampakkan ke kepulauan Papua pun aku yakin kau masih mampu mencari sahabat kerana kelakuan kau mudah diterima. Tidak seperti aku. Seorang yang tidak aggresif, tidak berani menyahut cabaran. Hahaha. Apa kelebihan yang boleh dibanggakan? Hanya penulisan semata mata. Zaman berubah, manusia tak lagi menjadikan sastera sebagai medium kepandaian tetapi mereka yang lebih pintar menggunakan teknologi lah di hadapan.

Seperti apa yang telah ditetapkan di tangan takdir dan juga Tuhan, aku mahu kau tahu, yang kau adalah gadis pujaan ramai jejaka di luar sana. Riang, ceria, berkongsi suka dan duka, suka mencari angin selain di tempat sendiri, itu lah yang jejaka di luar sana mahukan. Bukan kecantikan luaran yang dipandang walaupun kau dimata aku seorang gadis yang terlalu indah untuk digambarkan. Lebih mengasyikkan daripada menghirup secangkir kopi di dingin embun pagi. Mata kau mampu menzahirkan apa yang batin. Senyuman kau mampu membuat seorang yang sedang resah menjadi tenang. Sifat manja kau yang cuba kau sorokkan dengan alter ego kau itu boleh membuatkan semua jejaka di luar sana mengagungkan kau. Kau satu dalam seribu, dan mungkin juga sejuta. Kerana itu, aku sukar melupakan 18144 jam yang lalu ketika bersama kau. Sesungguh pada detik dan saat ini dosa untuk aku katakan yang aku tidak merindui jasad dan diri kau.

Kepada gadis berambut curly, bakal guru dan bakal pemimpin anak bangsa yang aku sanjungi. Ini untuk kau. Untuk kau Bunga Ramona.