9/02/2012

Cerpen - Damanpitalis


Aku dengar ia kota sebuah harapan.20 tahun yang lalu ia cuma hutan rimba. Aku masih ingat lagi ketika kecil,kawasan itu sangat tenang dan tidak ada sebatang jalan raya pun ke situ.

Hari ini, di situ ada sebuah bandar. Ada hampir 300,000 jiwa. Jalanraya berselingkar, lebuhraya penuh dengan kereta.

Tapi tidak ada satu pun stesen LRT. Tidak ada satu pun stesen komuter. Tidak ada satu pun stesen bas.

Aku pandang kiri, aku pandang kanan. Ya, aku pernah hidup bandar yang sesak tapi aku tak pernah rasa sejanggal ini. Aku terus merenung bangunan-bangunan di sini. Bangunan yang tersergam indah, De Kerf, Ikana dan Ikeo,i ni adalah pusat ekonomi Damanpitalis. Aku sedang mencari pekerjaan. Baru sebulan aku masih terkial-kial dan tercari-cari rentak dan arah. Aku keliru, seperti seorang anak kecil hari pertama ke sekolah. Kenapa kena pergi kerja? Sebab kalau tak bekerja tidak ada duit.Kalau tidak ada duit tidak ada makan.

Aku teriang-iang melihat kemegahan bandar ini. Penduduknya semuanya bergaya. Masing-masing mahu menunjukkan status mereka dengan pakaian mereka. Berjenama mewah. Kereta mereka semua besar-besar. Barulah aku sedar walaupun banyak pokok-pokok ditanam di sini, namun pokok itu cuma pokok hiasan. Sebab itu Damanpitalis ini terus panas. Kereta pun banyak. Pokok cuma pokok kelapa gading yang fungsinya hanya untuk mencantikkan lanskap.

Aku bekerja di sebuah kedai menjual pakaian. Aku pernah tolong member aku menjual pakaian bundle di Pulau Pinang dulu,cuma beza aku boleh berpakaian Che Guevara, dan berselipar Jepun dan seluar jeans koyak aku. Kali ini kena pakai baju tugged in,seluar slack dan kasut. Entah apa-apa.Padahal jual baju jugak. Tapi inilah perihal penduduk Damanpitalis. Semua perlu nampak class dan trendy. Kalau tak, anda akan dimaki-maki.

Aku lapar. Hari ini aku mula bekerja. Jadi aku tidak ada wang untuk makan. Aku hanya berani makan 'nasi bujang' - satu nasi yang pakejnya terdiri dari nasi putih, telur dadar, dan kuah kosong.Aku order dan aku makan apabila sampai. Dan tibanya bil - RM1.50 nasi putih RM1.50 telur dadar dan RM1.00 kuah kosong. Air teh o ais adalah RM1.80. Aku terbeliak biji mata aku. Damanpitalis, sampai hati kau buat rakyat marhein sebegini. Aku terkial-kial membayar nasi bujang yang paling mahal yang pernah aku makan selama ini.

Semasa aku bekerja di kedai pakaian tersebut, aku melihat seorang mak melihat baju-bajunya dengan kusyuk, sedang anak kecilnya sudah merayap ke mana. Maknya lebih kusyuk melihat baju paling trend and up-to-date daripada melihat anaknya sendiri. Aku lihat seorang Bangla duduk diam,merenung penduduk Damanpitalis ini. Mungkin dia tergelak, mungkin dia kagum dengan kehidupan orang-orang disini, tak siapa tahu. Dia cuma senyum ke arahku. Aku mengangkat tangan sambil melambaikan tangan sebagai tanda salute, tanda soladiriti kepada buruh yang bekerja keras di Damanpitalis ini.

Aku berdiri 8 jam sehari. Tanpa duduk.Aku melihat kewajaran itu sebagai sengal. Kenapa perlu berdiri walaupun tidak ada orang dalam kedai? Aarrgh, berhenti bersungut.Ini adalah bandar mereka. Ini cara hidup mereka. Aku selalu ingat pesan ibu aku, "When you're in Rome, do as the Roman does".

Aku sudah tidak berani untuk makan di Damanpitalis. Apa yang aku buat adalah makan megi dari rumah siap-siap. Aku sudah kekurangan wang. Aku tidak berjaya meminta advance dari majikan aku. Aku lapar. Kalau aku lapar macam mana aku nak buat kerja? Makanan adalah hak asasi manusia tetapi ia diniagakan dan diletakkan harga tanpa memikirkan hak asasi manusia itu sendiri. Orang menanam padi terus hidup miskin tetapi mereka yang mendakwa diri mereka sebagai businessman hidup kaya raya. Mereka yang hidup atas titik peluh orang lain.

Aku terus merenung warga kota Damanpitalis. Setahu aku,aku berada di sebuah negara yang merdeka. Setiap tahun aku melihat bendera-bendera negara ini berkibaran,dan ramai melaungkan "Merdeka! Merdeka! Merdeka !", tetapi orang-orang di Damanpitalis masih lagi menggunakan bahasa penjajah mereka.Kenapa ya? Tak cool ke bahasa tempatan? Tak macho berbahasa sendiri.Anak bercakap dengan mak tentang saiz pakaian dalam bahasa penjajah. Kekasih berborak sesama sendiri tentang warna baju dalam bahasa penjajah.Kenapa ya? Mulia sangatkah bahasa penjajah? Hina sangatkah bahasa sendiri? Tapi aku memang tak faham dengan penduduk Damanpitalis.

"Mom, can you bring me size M? I can't fit this skirt,mom.." si anak memberi perintah kepada si mak. Si mak terkial-kial mencari skirt untuk anaknya. Aku turut membantu si mak mencari skirt yang diingini oleh sang puteri yang sedang memekak di fitting room membentak-bentak maknya.

Masa aku kerja di kedai bundle dulu, aku boleh berborak-borak dengan kawan-kawan sambil menghisap kretek.S ambil gelak-gelak. Sambil makan kacang. Di sini, jangankan merokok, mahu berborak akan dimarah supervisor. Konon mahu menjaga kelas dan trend. Aku membentak dalam diri," kita manusia ini semua sama sahaja, manusia saja yang membeza-beza, bertinggi rendah berpangkat-pangkat berperingkat-peringkat!"

Apabila pulang ke rumah di waktu malam, deretan kereta berlingkar seperti ular di jalan-jalan di Damanpitalis. Kesian, ada 300,000 penduduk,tapi takde kemudahan LRT.Takde kemudahan komuter.Takde kemudahan bas.Paling kesian, takde kemudahan telefon awam pun.

Semua orang di sini pentingkan diri sendiri. Mereka terdidik dari pemikiran kapitalis yang mementingkan diri sendiri daripada berkongsi. Kesian, mereka semua ada kereta yang hebat-hebat,yang laju-laju,tapi semuanya terdiam menunggu traffic jam untuk berakhir. Aku dengan motorku meluncur laju sambil berkata kepada mereka,"aku akan gelakkan mereka bila harga minyak naik".

Satu yang paling aku fikirkan,apabila inflasi akan melambung tinggi nanti,dan pada ketika itu,kereta sudah tidak ada bekalan minyak lagi sebab petroleum sudah tidak ada lagi,apakah hidup bandar Damanpitalis ini?

Damanpitalis. Capitylism. So pity of you, capitalism.

Hari ini, hari kamu. Esok bila semuanya sudah habis, itu hari kami pulak. Hari dimana kami benar, dan kamu salah.

Sekarang...memang kami dihina sebab kami mahu berkongsi. Anda tidak mahu. Akan datang, tiba masanya untuk anda terpaksa berkongsi.

Konsumerisme diambang kejatuhan. Dan pada akhir nanti, kota Damanpitalis ini akan hanya jadi seperti kota-kota besar seperti Babylon, Giza atau Manchu Picchu - jadi tinggalan sejarah - sebab ia tidak lagi mampu menyokong penduduknya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan