Mungkin betul kata sesetengah orang, bila merindukan seseorang tidak kira lama mana pun tetap akan kita tunggu sehingga sampai detik detik kita akan bertemu kembali. Sesungguhnya aku tak pernah kecewa pun selepas lama berpisah dan bertemu kau kembali. Sememangnya kau salah satu memori yang paling indah pernah terpahat dalam hati dan akal aku. Walaupun membentak ego aku supaya membenci kau, tapi naluri hati seorang lelaki tahu mana satu perasaan yang waras tanpa diselaputi ego. Cuba melupakan memori indah dalam ingatan bagi aku hanyalah seperti kau cuba membuang akal yang terpahat sejak kau di dalam rahim bayi lagi. Seperti kau membuang setengah jiwa kau di lorong lorong hitam. Aku takkan melupakan kau. Seteruk mana keadaan aku, sesenang mana keadaan aku, aku takkan melupakan kau. Cuma sering aku berpesan di dalam diri aku sendiri bahawa aku sememangnya tak layak LANGSUNG nak menakluk kembali hati kau.
Aku cuma seorang insan yang masih bernafas oksigen yang sama seperti orang orang di luar sana. Tiada beza oksigen yang aku hirup itu dengan mereka mereka yang berada di istana, di luar negara mahupun di kaki lima. Sama. Cuma apa yang membezakan aku dengan mereka ialah aku punya kisah cerita hebat yang ditulis oleh Tuhan ke atas diri aku. Sebagai pelakon di dalam cerita ini, aku disuruh melakonkan watak menunggu kau. Menunggu bukannya suatu yang indah lebih lebih lagi menunggu perkara yang tak pasti. Bisikan syaitan berkata hentikanlah perkara bodoh ini, tapi jiwa aku sendiri tahu yang aku harus terus menunggu meskipun jawapan yang akan aku dapat kelak tidak seperti apa yang aku harapkan. Tapi sekurang kurangnya, aku mahu kau tahu yang aku bukan sahaja menunggu, malah sentiasa ada disamping kau tidak kira di saat saat getir mahupun ketika kau sedang gembira menari di bawah tangisan langit dan awan. Aku akan sentiasa ada sisi untuk menyokong dan memberikan kata kata semangat untuk kau terus mara di dalam hidup.
Aku sendiri tidak tahu apa kelebihan yang ada di dalam diri aku sehingga aku berkata yang kau harus menerima aku. Tidak. Aku tak nampak apa apa kelebihan. Malah terlalu banyak kekurangan yang ada di dalam diri aku. Kau akan malu dengan rakan rakan kau yang lain. Ketika mereka di samping jejaka jejaka hebat, tampan dan berkeyakinan tinggi, aku hanya seorang penulis yang hanya mampu mengucapkan kata kata indah tapi tiada apa yang boleh dibanggakan. Dengan saiz luaran aku yang boleh dilihat dari turki ke Belanda, semua akan memandang jelik ke atas kau. Dengan penampilan aku yang kusut serabut seperti mereka yang hidup di gelandangan, kau akan dibahan rakan sepermainan. Tidak. Aku datang bukan untuk menjadikan hidup kau sebegitu. Sebab itu aku berkata ramai lagi jejaka di luar sana yang layak menerima gadis seperti kau. Aku bangga dapat mengenali kau dengan sangat rapat. Kau seorang gadis yang peramah, bijak tutur kata dan juga pelajarannya. Kau antara gadis yang boleh hidup berdikari tanpa ada bantuan dari mana mana pihak. Jika dicampakkan ke kepulauan Papua pun aku yakin kau masih mampu mencari sahabat kerana kelakuan kau mudah diterima. Tidak seperti aku. Seorang yang tidak aggresif, tidak berani menyahut cabaran. Hahaha. Apa kelebihan yang boleh dibanggakan? Hanya penulisan semata mata. Zaman berubah, manusia tak lagi menjadikan sastera sebagai medium kepandaian tetapi mereka yang lebih pintar menggunakan teknologi lah di hadapan.
Seperti apa yang telah ditetapkan di tangan takdir dan juga Tuhan, aku mahu kau tahu, yang kau adalah gadis pujaan ramai jejaka di luar sana. Riang, ceria, berkongsi suka dan duka, suka mencari angin selain di tempat sendiri, itu lah yang jejaka di luar sana mahukan. Bukan kecantikan luaran yang dipandang walaupun kau dimata aku seorang gadis yang terlalu indah untuk digambarkan. Lebih mengasyikkan daripada menghirup secangkir kopi di dingin embun pagi. Mata kau mampu menzahirkan apa yang batin. Senyuman kau mampu membuat seorang yang sedang resah menjadi tenang. Sifat manja kau yang cuba kau sorokkan dengan alter ego kau itu boleh membuatkan semua jejaka di luar sana mengagungkan kau. Kau satu dalam seribu, dan mungkin juga sejuta. Kerana itu, aku sukar melupakan 18144 jam yang lalu ketika bersama kau. Sesungguh pada detik dan saat ini dosa untuk aku katakan yang aku tidak merindui jasad dan diri kau.
Kepada gadis berambut curly, bakal guru dan bakal pemimpin anak bangsa yang aku sanjungi. Ini untuk kau. Untuk kau Bunga Ramona.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan